Susup dari sayap

AKHYAR Rashid

MANILA: Dua pemain sayap negara, Akhyar Rashid dan Umar Hakeem Suhar Redzuan berazam untuk tampil lebih menyengat dalam aksi kedua Sukan Sea menentang Filipina di Stadium Memorial Rizal, malam ini.

Selepas gagal membantu pasukan melakar kemenangan pada aksi pertama Kumpulan A bertemu Myanmar, Isnin lalu, kedua-dua pemain muda lincah itu mahu memastikan tiga mata mampu digenggam.

Akhyar atau lebih mesra dipanggil Mat Yat dikalangan rakan sepasukan, mahu memperagakan aksi lebih baik berbanding ketika perlawanan pertama dengan dia mensia-siakan beberapa peluang terhidang untuk mencetak nama selaku penjaring.

Kata tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, dia kini semakin serasi dengan keadaan padang tiruan di venue utama acara bola sepak dan mengaku sudah sedia membantu pasukan memburu kemenangan pertama.

“Bagi saya, pertemuan menentang Filipina esok (malam ini) agak sengit kerana dari segi fizikal, mereka memiliki kelebihan. Tapi apa yang saya lihat, mereka juga sering buat kesilapan jadi kami akan gunakan sebaiknya untuk menjaringkan gol nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan, semalam.

Nada sama juga diluahkan Umar yang turut memiliki peluang keemasan meledak jaringan ketika bertemu Myanmar, namun disebabkan kekurangan pengalaman, pemain berusia 17 tahun itu hanya menggigit jari.

Umar yang membantu skuad B-18 layak ke pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 di Uzbekistan tahun depan, mengaku sudah tidak sabar untuk turun berdepan skuad Junior Azkals.

“Saya rasa persiapan semuanya elok dan sudah tentu jurulatih pun tahu macam mana nak atasi dan menjamin kemenangan. Kami sudah lihat aksi mereka dan kami perlu bersedia dengan strategi terbaik,” kata Umar yang lahir dari Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 29 Nov 2019