Tepati ramalan

AKSI skuad bola jaring negara ketika menewaskan Brunei, semalam.

MANILA: Skuad bola jaring negara menepati ramalan untuk mara ke peringkat separuh akhir saingan Sukan Sea apabila melakar kemenangan 69-23 ke atas Brunei di Kompleks Sukan Santa Rosa, Manila, semalam.

Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut yang diraih skuad kendalian Tracey Robinson, sekali gus mengekalkan rekod bersih pada kempen kali ini.

Malaysia yang juga pemenang pingat emas temasya di Kuala Lumpur 2017 seperti biasa mempamerkan aksi menakjubkan dengan mendominasi segenap penjuru gelanggang.

Jelas Tracey, walaupun pasukannya sudah menempah tiket ke separuh akhir, namun skuad kendaliannya masih memiliki baki satu lagi aksi menentang musuh tradisi, Singapura, hari ini.

Katanya, dia mahu pemain memberi sepenuh tumpuan bagi aksi itu yang dijangka berlangsung sengit.

“Singapura sebuah pasukan yang sungguh baik dan mereka mempunyai ramai pemain berpengalaman terutama selepas layak ke Kejohanan Dunia sebelum ini.

“Jadi, mereka tentunya akan memberi cabaran kuat kepada kita di mana masing-masing mahu menamatkan aksi terakhir peringkat ‘round robin’ ini dengan kemenangan.

“Tetapi kita juga memiliki kekuatan tersendiri. Bagi saya pasukan kita ada kelebihan dari segi keseimbangan yang menjadi kekuatan utama.

“Saya boleh membariskan mana-mana pemain dalam kesebelasan utama untuk perlawanan itu nanti,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 29 Nov 2019