Enggan pulang tangan kosong

FAKRUL (kanan), Fazira (kiri) bersama Susan.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

WALAUPUN terpaksa merayu empat kali kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk disenaraikan buat julung kali ke Sukan Sea Filipina, ia sedikitpun tidak melunturkan tekad skuad kurash untuk mencipta kejutan di temasya dwitahunan itu.

Membariskan dua atlet - Fakrul Adam Jose M Cruz Fauzi Cruz, 21, dan Noor Fazira Mohamed, 24, fokus mereka adalah untuk menang sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Pengurus pasukan, Susan Cheah Pik Yee berkata, keyakinan beliau meningkat selepas melihat semangat yang dipamerkan kedua-dua atlet berkenaan.

“Persiapan atlet kita sangat bagus. Fakrul Adam berlatih di Terengganu bersama jurulatih judo, Marjan Abdullah kerana sukan ini 99.9 peratus sama dengan judo, manakala Noor Fazira berlatih di Perak kerana saya mahu dia turut berlatih angkat berat.

“Saya dan Presiden Persatuan Kurash Malaysia, Chew Eng Kian turut meninjau latihan mereka dan amat berpuas hati,” katanya.

Beliau berkata, skuad kurash diletakkan di bawah kategori B2 memandangkan ia sukan baharu dan bukan badan gabungan MOM, sekali gus terpaksa mengeluarkan kos sendiri ke Sukan Sea.

“Jika menang pingat sekalipun, atlet kami tidak berpeluang untuk mendapat wang gantian daripada MOM. Apapun, kami akan cuba sebaik mungkin dapat pingat.

“Ia juga bergantung kepada siapa lawan kita kerana sukan kurash ini amat kompetitif dan atlet perlu betul-betul kuat,” katanya.

Atlet negara akan berlepas ke Manila esok dengan kejohanan bermula pada Ahad di Laus Group Event Center.

Sukan kurash adalah aktiviti umum popular bagi penduduk di Uzbekistan sejak 3,500 tahun lalu dan pertama kali dipertandingkan di Sukan Asia tahun lalu.

Objektif kurash adalah menjatuhkan lawan dengan memegang ikatan di pinggang mereka. Pertandingan bermula dengan kedua-dua pemain dalam kedudukan yang dikenali sebagai ‘tazim’.

Tiga cara mereka boleh mendapat mata iaitu melalui teknik ‘halal’ yang merujuk kepada membuang lawan dengan kelajuan dan kawalan penuh.

Jika berhasil, bermakna ia akan menjadi kemenangan mutlak. Keduanya, melalui ‘yambosh’ iaitu teknik menghumban lawan, hampir menyamai halal. Dua ‘yambosh’ bersamaan dengan satu halal dan ketiga, ‘chala’ iaitu teknik lontaran yang hampir dengan ‘yambosh’ dan dikira secara berasingan.

Dalam sukan kurash, pemain boleh dikenakan penalti jika melakukan gerakan bertentangan dengan peraturan.

Maksimum dua penalti dikenali sebagai ‘tambik’ dan ‘dakk’ dibenarkan dan jika dikenakan penalti ketiga, ‘girrom’, penyertaan pemain akan dibatalkan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 29 Nov 2019