Syamer tak gentar 'maklumat' Aguinaldo

SYAMER (kiri) bersaing dengan pemain Myanmar, Htet Phyoe Wai pada aksi pertama, Isnin lalu. — FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim di Manila
firdaushashim@hmetro.com.my

PERTAHANAN import PKNP FC, Amani Aguinaldo pasti berkongsi maklumat dengan pasukan negaranya Filipina mengenai kemampuan anak buah Datuk Ong Kim Swee yang rata-ratanya beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M).

Begitupun, ia langsung tidak menggusarkan pemain skuad B-22 negara ketika tonggak tengah Syamer Kutty Abba yakin mengutip tiga mata pada aksi kedua Sukan Sea 2019 di Stadium Memorial Rizal, Manila, malam ini.

“Seorang pemain (Aguinaldo) tidak memberi kesan (berkongsi maklumat pemain Malaysia) kepada seluruh pasukan kerana situasi berubah dalam setiap perlawanan. Ia tidak memberi kesan kepada kami,” katanya ketika ditemui Arena Metro di Manila, hari ini.

Skuad negara memburu kemenangan pertama dalam acara bola sepak lelaki Sukan Sea selepas sekadar meraih satu mata apabila seri 1-1 dengan Myanmar dalam Kumpulan A, Isnin lalu.

Jelas Syamer, suasana dalam pasukan semakin baik dan rata-ratanya sudah dapat menyesuaikan diri bermain di atas padang tiruan.

“Aksi pertama selalunya bukan mudah untuk kami nak sesuaikan diri dengan padang macam ini.

“Kami harap bagi aksi kedua ini kami memberi aksi terbaik dan komited sepanjang perlawanan,” tegas tonggak Johor Darul Ta’zim itu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 29 Nov 2019