Banyak isu hampir selesai: Megat

MEGAT (kiri) melayan soalan wartawan di Manila. — FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim di Manila
firdaushashim@hmetro.com.my

KETUA kontinjen negara Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengesahkan beberapa isu berbangkit mengenai fasiliti dan logistik membabitkan negara bertanding pada Sukan Sea 2019 sudah berjaya ditangani penganjur.

Menurutnya, campur tangan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang menegur Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Tenggara Filipina (PHISGOC) menyaksikan tindakan pantas diambil bagi mengatasi masalah.

Katanya, daripada empat pasukan negara yang tiba lebih awal seperti skuad floorball, bola jaring, polo dan bola sepak, mereka menerima laporan tiga jenis sukan membabitkan masalah makanan halal dan logistik.

“Saya memahami (rungutan) dan saya sudah menerima laporan secara rasmi daripada tiga persatuan kebangsaan mengenai masalah yang terpaksa atlet mereka lalui.

“Tapi daripada perkara yang mereka utarakan, hampir lebih 60 peratus sudah diselesaikan antaranya isu makanan halal.

“Kami sedia maklum (masalah venue, makanan dan logistik) dan isu ini sudah ditegur oleh Presiden Duterte sendiri.

“Jadi bagi saya lebih baik ia berlaku di peringkat awal, daripada ia berlaku di pertengahan bila dah sampai lebih ramai,” katanya ketika ditemui di Manila.

Terdahulu, imej Filipina selaku penganjur edisi ke-30 tercemar susulan beberapa venue dan kemudahan pengamal media masih dalam kerja penyelenggaraan ketika temasya itu dibuka secara rasminya esok.

Malah, isu makanan halal dan logistik turut menghantui kontinjen bertanding apabila pasukan bola sepak Indonesia yang beragama Islam dihidangkan dengan daging babi selain skuad Timor Leste dan Kemboja terpaksa bermalam di lapangan terbang susulan ketiadaan bas.

Pada temasya kali ini, Malaysia mengambil bahagian dalam 52 jenis sukan dengan menyasarkan 70 pingat emas untuk menamatkan kedudukan di tangga keempat dalam kalangan negara bertanding.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 29 Nov 2019