Tak hadiri konvokesyen anak demi negara

Megat Zulkarnain (kanan) tidak dapat hadiri konvokesyen anak. FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD
BERNAMA

SEDIH dalam gembira!

Itulah perumpamaan digambarkan pada raut wajah Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-30 Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang sedih kerana tidak dapat menghadiri konvokesyen anak lelakinya, Megat Firdauz Putra di Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), Kuala Lumpur esok.

Pelajar berusia 22 tahun itu yang sedang mengikuti pengajian di Unitar meraih anugerah pelajar cemerlang ijazah sarjana muda (kepujian) Bachelor of Arts Government and Public Policy.

“Saya dimaklumkan oleh pejabat universiti bahawa beliau mendapat anugerah pelajar terbaik dan saya fikir semua anak mestilah hendak lihat bapanya (pada hari konvokesyen), tapi saya dah cuba dapatkan penerbangan balik untuk majlis perasmian (Sukan SEA 2019) pada hari yang sama tapi nampaknya tak dapat.

“Inilah pengorbanan saya untuk negara, doa saya bersama dia (Megat Firdauz Putra) tapi saya bangga kerana sebagai anak, beliau faham tugas saya,” jelas Megat Zulkarnain ketika hadir pada majlis menaikkan bendera 10 negara ASEAN dan Timor-Leste di Perkampungan Sukan Clark, Tarlac, hari ini.

Upacara pembukaan Sukan SEA 2019, dijadualkan berlangsung esok di Philippine Arena, Manila, disusuli upacara penutupan di Stadium Olahraga Clark pada 11 Disember ini.

Megat Zulkarnain tiba di Manila sejak semalam, bagi memantau perkembangan atlet Malaysia yang bertanding pada edisi ke-30 temasya sukan dwitahunan berkenaan yang bermula sejak 24 November lalu.

Malaysia diwakili seramai 773 atlet dan 339 pegawai yang akan beraksi dalam 52 daripada 56 jenis sukan pada Sukan SEA yang diadakan di tiga kluster–Manila, Clark dan Subic.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 29 Nov 2019