Badang negara mahu tamat badi pingat

Aznil mahu raih pingat di Filipina. FOTO NSTP
BERNAMA

ATLET angkat berat negara Muhamad Aznil Bidin mahu menamatkan ‘badi’ tanpa pingat dalam penyertaannya di temasya Sukan SEA ke-30 kali ini.

Pada penyertaan sebelum ini atlet berusia 25 tahun itu terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di kedudukan keempat pada edisi 2013 di Nay Pyi Taw dan 2017 di Kuala Lumpur yang nyata amat perit untuk dihadapi.

Katanya, pada penampilan di Filipina, beliau telah melakukan persiapan lebih rapi untuk memberi cabaran dan sekurang-kurangnya membawa pulang pingat gangsa, acara angkat berat.

“Saya sasarkan untuk dapatkan gangsa di Sukan SEA.

Dua kali saya dapat nombor empat. Sebelum ini saya kategori lain, 56 kilogram, 62kg dan sekarang 61kg jadi saya akan cuba buat yang terbaiklah,” katanya kepada Bernama.

Atlet berasal dari Kedah itu berkata sasaran untuk meraih gangsa dilihat realistik, memandangkan saingan yang bakal dihadapinya pernah bersaing di pentas yang lebih tinggi.

Dalam kategori 61kg, Muhamad Aznil bakal berdepan saingan atlet Indonesia Eko Yuli Irawan, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil dan pemenang pingat emas Kejohanan Dunia Angkat Berat 2017 di Anaheim, Amerika Syarikat, Thach Kim Tuan dari Vietnam.

Acara angkat berat Sukan SEA ke-30 dijadual bermula pada 1 hingga 4 Dis ini di Stadium Ninoy Aquino.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 29 Nov 2019