Polo air pulang awal

PEMAIN Malaysia, Toh Yi Xiang (kiri) menghalang pemain Indonesia, Budiman Yusuf cubaan menghasilkan jaringan gol pada perlawanan pusingan awal polo air lelaki di Pusat Akuatik Clark, Kompleks Sukan New Clark City, Filipina. FOTO: Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

PASUKAN polo air negara bukan sahaja gagal mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi dua tahun lalu di Kuala Lumpur, malah menjadi pasukan pertama yang akan pulang daripada temasya Sukan Sea Filipina.

Ia selepas mereka mengalami kekalahan 7-14 di tangan Indonesia hari ini sekali gus kekalahan kali ketiga berturut-turut.

Skuad bimbingan Voon Yong Hui sebelum ini tewas 4-17 kepada Singapura sebelum dibelasah Thailand 5-19.

Malaysia akan bertemu Filipina pada perlawanan terakhir Ahad ini namun ia sekadar untuk melengkapkan jadual dan tidak mampu mengubah nasib mereka.

Yong Hui berkata, pasukannya hanya dibarisi empat pemain yang memenangi gangsa dua tahun lalu manakala lapan daripadanya adalah muka baru.

"Jika kami dapat mengekalkan pemain seperti dua tahun lalu, mungkin kami akan memperoleh keputusan lebih baik.

"Hampir kebanyakan pemain adalah muka baru dan mereka juga tidak dapat menjalani latihan penuh.

"Namun ketika bertemu dengan Indonesia hari ini, setiap pemain mempamerkan aksi lebih baik berbanding dua perlawanan awal," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 29 Nov 2019