Bola jaring kekal kemenangan

PEMAIN Malaysia Noor Azilah Aziz (dua dari kiri) merebut bola dari pemain Singapura. FOTO/BERNAMA
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

SKUAD bola jaring negara meraih suntikan motivasi terbaik untuk mempertahankan pingat emas apabila menumbangkan pesaing terkuat Singapura dengan 54-49 pada aksi terakhir pusingan awal temasya Sukan Sea 2019, hari ini.

Aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Santa Rosa, Manila, di sini itu menyaksikan kem negara mengekalkan rekod bersih dalam semua empat aksi yang dijalankan secara round robin.

Sebelum ini, anak buah Tracey Robinson mudah membelasah Thailand (62-42), Filipina (88-25), dan Brunei (69-23).

Hasil kemenangan terbaharu itu, Malaysia mara ke separuh akhir dan berjaya menamatkan kedudukan di tangga teratas dan akan menentang pasukan di tempat keempat iaitu Brunei manakala Singapura bertemu Thailand dalam satu lagi separuh akhir.

Dijangka skuad negara sekali lagi bakal berdepan Singapura di pentas final Isnin ini bagi penentuan pingat emas dan sudah tentunya kemenangan awal ke atas musuh tradisi itu memberi keyakinan kepada pasukan.

“Saya gembira dengan kemenangan hari ini cuma kami perlu perbaiki kelemahan yang mana kami agak leka ketika suku keempat permainan sehingga membolehkan Singapura merapatkan kedudukan.

“Kami tidak boleh ulangi kesilapan itu yang kami perlu konsisten sepanjang perlawanan.

“Kami akan bertemu Brunei untuk aksi separuh akhir dan saya harap pemain terus mempamerkan prestasi terbaik mereka,” kata Tracey selepas perlawanan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 29 Nov 2019