Gimnas Indonesia 'tiada dara' dihantar pulang [VIDEO]

Shalfa (kanan) dihantar pulang kerana tiada dara. FOTO Youtube
Reuters

SEORANG atlet gimnastik Indonesia menjalani latihan untuk menghadapi Sukan Sea 2019 di Filipina dihantar pulang ke negaranya atas alasan dia tidak lagi mempunyai dara, dakwa keluarganya.

Tuduhan itu bagaimanapun disangkal oleh badan induk sukan di Indonesia, semalam yang menegaskan penggugurannya adalah berikutan isu disiplin.

Shalfa Avrila Sania, 17, yang dijadual menyertai temasya dwi tahunan Sukan Sea pada 26 November lalu didakwa diketepikan daripada menjalani latihan sejak pertengahan bulan ini, menurut peguam dan keluarganya.

"Jurulatih berkata anak perempuan saya sentiasa keluar pada lewat malam dengan rakan-rakan lelakinya.

“Siasatan mendapati dia tidak lagi mempunyai dara,” kata ibunya, Ayu Kurniawati kepada agensi berita menerusi talian telefon dari Jawa Timur, Indonesia.

“Saya terkejut. Saya mahu nama anak perempuan saya dibersihkan.”

Kementerian Sukan Indonesia menafikan tuduhan itu dan menegaskan pengguguran itu disebabkan oleh masalah prestasi dan isu disiplin.

“Kami akan mengambil tindakan tegas jika atlet itu dihantar balik berikutan persoalan mengenai keperawanannya kerana ia adalah hak privasi, maruah dan tidak berkaitan langsung dengan prestasi,” kata kementerian itu dalam kenyataan laporan berita Indonesia, Detik.

Kurniawati menegaskan pengguguran anaknya yang sudah memenangi 50 pingat sejak menyertai sukan berkenaan seawal usia lapan tahun bukan disebabkan oleh masalah prestasi.

Keluarganya juga sudah menghantar surat kepada kementerian bagi membantah pengguguran itu bersama laporan perubatan yang membuktikan selaput daranya masih ada, kata peguamnya, Imam Muklas menerusi telefon.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 29 Nov 2019