Tenis waspada ancaman taufan Tisoy

RIBUT tropika Kammuri kini berada di luar Filipina bakal memasuki negara tersebut Ahad ini sehari selepas upacara perasmian Sukan SEA 2019 dan ia diberi nama “Tisoy”. FOTO/OSMAN ADNAN
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

SKUAD tenis negara bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan termasuk perubahan venue pertandingan sekiranya taufan Tisoy melanda Filipina Ahad ini.

Menurut pengurus pasukan, Datuk Salahuddin Kamal, skuad tenis negara yang tiba di Manila, hari ini bersempena temasya Sukan Sea 2019 mengakui akan risiko yang bakal dilalui anak buahnya.

Katanya, memandangkan acara berkenaan akan dilangsungkan di kawasan terbuka dan tidak berbumbung, pihaknya bersedia mengikut segala arahan penganjur demi keselamatan atlet negara.

"Sudah tentu kami berharap tiada apa yang berlaku, tetapi jika cuaca buruk, kami akan mengikut apa jua pelan perubahan oleh PHISGOC (Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Filipina).

"Kami ada mendengar tentangnya (kemungkinan taufan) sebelum ini tetapi saya dimaklumkan ia tidak akan sampai ke Manila sebaliknya hanya dua venue utama lain di Clark atau Subic.

"Tapi kami tetap bersedia dengan apa juga kemungkinan kerana tenis terdedah dengan ancaman ribut sebab ia dilangsungkan di tempat terbuka, tidak seperti sukan lain seperti badminton atau silat yang dijalankan dalam dewan.

"Jika mereka (PHISGOC) memutuskan untuk menukar tempat kami akan ikut arahan yang diberikan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA), di sini, hari ini.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan mengenai taufan Tisoy yang sedang bergerak laju menuju ke arah barat Filipina pada kelajuan 25 kilometer sejam (km/j) dengan tiupan angin 105km/j.

Taufan itu dijangka melanda tuan rumah temasya dwitahunan ke-30 itu Ahad ini iaitu selepas upacara perasmian Sukan Sea esok.

Sementara itu, Salahuddin yakin sasaran dua pingat gangsa mampu diraih sekaligus memperbaiki pencapaian satu gangsa di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 29 Nov 2019