Rumput boling padang belum matang

NURUL percaya mampu bawa pulang emas. FOTO/NSTP
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

MESKIPUN pelbagai isu timbul berhubung gelanggang rumput boling padang, barisan atlet negara tetap percaya mereka tetap mampu membawa pulang emas.

Difahamkan, keadaan padang yang tidak rata mungkin menyukarkan atlet negara yang menyasarkan untuk memenangi lima daripada enam emas yang dipertandingkan.

Bagi atlet boling padang negara, Nurul Alyani Jamil, dia dan rakan sepasukannya tidak mahu menjadikan masalah itu sebagai penghalang.

Malah, selepas dua hari menguji padang, Nurul berasakan tidak banyak masalah besar yang boleh menidakkan peluang mereka.

“Sebenarnya memang kami mencadangkan kepada penganjur menggunakan rumput tiruan, tetapi ditolak.

“Tetapi ia bukan masalah besar buat kami kerana kami juga pernah beberapa kali menjalani latihan di padang biasa di Majlis Sukan Negara (MSN).

“Di peringkat antarabangsa seperti di Australia juga menggunakan padang rumput. Segala-galanya bergantung kepada tuan rumah,” katanya ketika ditemui pada majlis menaikkan bendera kontinjen di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan New Clark City, semalam.

Difahamkan, rumput di gelanggang itu baharu ditanam dan belum cukup matang, sekali gus menjadikan permukaannya tidak rata.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 30 Nov 2019