Satu aje...

NUR Amirull sandaran pingat negara melalui acara lepas beramai-ramai lelaki.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

SKUAD berbasikal negara meraih pencapaian paling gemilang di Sukan Sea 2017 dengan 13 emas secara keseluruhan, sekali gus muncul penyumbang terbesar kontinjen negara bergelar juara keseluruhan ketika itu.

Malah, jaguh trek, Azizulhasni Awang memastikan Malaysia mencapai sasaran 111 emas yang ditetapkan apabila menjuarai acara pecut individu di Velodrom Nasional.

Bagaimanapun, kisah gemilang dua tahun lalu sudah berada dalam lipatan sejarah dengan skuad berbasikal terbang ke Filipina umpama ‘kuda tempang’ apabila meletakkan sasaran membawa pulang hanya sebutir emas selepas tuan rumah edisi ke-30 tidak mempertandingkan acara trek.

Malaysia kini menaruh sepenuh kepercayaan untuk menjuarai acara ujian masa berpasukan yang membariskan Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Nik Mohd Azwan Zulkifle, Muhamad Afiq Huznie Othman dan Akmal Hakim Zakaria di bawah kendalian Akmal Amrun.

“Mereka bakal menggunakan basikal baharu yang bernilai RM25,000 setiap satu... sudah pasti ia lebih ringan dan baik. Saya menaruh keyakinan mereka akan menghasilkan sesuatu di sana. Malah, mereka sudah menjalani latihan selama dua minggu di laluan berbukit (Gohtong Jaya) bagi memantapkan persiapan kerana laluan di Filipina tidak seperti dua tahun lalu di Kuala Lumpur. Pemilihan pelumba juga adalah berdasarkan merit,” jelas pengurus negara, Amrun Misnoh.

Tumpuan turut terarah kepada skuad lepas beramai-ramai lelaki yang membariskan antara pelumba terbaik negara berdasarkan laluan berbukit yang bakal digunakan tuan rumah.

Ia diketuai juara kebangsaan 2019, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki yang dilihat berada di prestasi terbaik pada saingan Jelajah Asia 2018/2019 sehingga membantu pasukan benua berkenaan muncul juara.

Pelumba berusia 27 tahun itu hadir dengan reputasi hebat apabila turut memenangi jersi kuning Tour de Siak selain memenangi satu peringkat di Tour of Peninsular yang berstatus 2.1.

Gandingannya juga bukan calang-calang apabila dibantu Mohd Shahrul Mat Amin, Muhamad Zawawi Azman, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri dan Nik Mohd Azwan Zulkifle.

“Kami meletakkan sasaran gangsa namun jika berjaya mengubah warna, ia adalah bonus. Laluan berbukit tidak banyak berbeza seperti edisi 2005 dengan Suhardi Hassan berjaya meraih emas. Kali ini saya lebih yakin dengan prestasi semasa yang dipamerkan terutamanya Nur Amirull,” tambahnya yang juga pengurus pasukan pada edisi 2005.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 30 Nov 2019