Malaysia masih berpeluang - Adam

Adam Nor Azlin (tengah) mengawal bola yang cuba diasak 3 pemain Filipina. FOTO Osman Adnan.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

KAPTEN pasukan bola sepak bawah 22 (B-22) tahun negara, Adam Nor Azlin percaya peluang untuk mara ke pusingan seterusnya masih belum tertutup dan kesemua pemain mengharapkan sokongan padu penyokong.

Adam antara dua pemain lebih umur yang di bawa Datuk Ong Kim Swee ke temasya Sukan Sea 2019 di Filipina mengakui kecewa dengan kekalahan tipis 0-1 kepada tuan rumah malam tadi.

Katanya, pemain tidak seharusnya dihina ataupun dicaci susulan kekalahan itu kerana ia boleh menjatuhkan motivasi pasukan.

"Kami memang kecewa dengan keputusan ini dan saya yakin pemain-pemain sudah berikan sepenuh hati mereka namun rezeki tidak menyebelahi kami.

"Tapi saya rasa bangga dengan semua pemain, kami hanya mohon doa rakyat Malaysia.

"Jangan bila kita kalah semua pemain-pemain dikutuk dan dihina macam tak ada maruah. Bagi saya pemain-pemain sudah berikan aksi terbaik," kata Adam.

Pada aksi kedua kumpulan buat skuad negara itu, pasukan dikejutkan dengan jaringan cantik pemain berpengalaman Filipina, Stephan Schrock menerusi sepakan penjuru yang terus ke arah gawang negara yang gagal ditampan Haziq Nadzli pada minit ke-72.

Mengulas mengenai formasi tiga pertahanan yang digunakan Kim Swee, Adam yang beraksi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam Liga Malaysia enggan menjadikan ia sebagai alasan di atas kelonggaran benteng pertahanan negara.

"Tapi memang formasi ini (tiga pertahanan) memerlukan fokus yang lebih kepada pertahanan tengah sebab itu adalah asasnya.

"Bagi saya ia tak ada masalah, mungkin ada benda-benda yang kita boleh perbaiki lagi sebab kita ada dua perlawanan lagi dan saya rasa pemain-pemain akan bagkit dalam baki aksi ini," katanya.

Kegagalan memungut mata menyaksikan Malaysia kekal di tangga keempat kumpulan dengan satu mata yang diraih ketika seri 1-1 dengan Myanmar dalam aksi pertama sebelum ini.

Skuad negara akan berdepan Timor Leste pada Isnin dan Kemboja pada Rabu bagi baki saingan Kumpulan A dalam acara bola sepak di temasya dwi tahunan itu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 30 Nov 2019