SYED Ali Syed Akil bukan saja menggalas tugas berat selaku jurulatih skuad petanque negara, tetapi turut menyimpan hasrat besar untuk melihat dua anaknya meraih pingat pada temasya Sukan Sea kali ini.
Anak pertamanya, Syed Akmal Fikri , 22 akan beraksi dalam acara tripple lelaki yang menjadi sandaran utama untuk memenangi emas manakala yang perempuan, Sharifah Aqilah Farhana, 20, pula beraksi untuk acara double.
"Sudah tentu sebagai jurulatih dan bapa, hasrat saya mahu Syed Akmal memenangi emas. Seorang lagi (Sharifah) juga harap dapat mempamerkan aksi terbaiknya.
"Syed Akmal sudah beraksi di Sukan Sea sejak 2013 di Myammar. Ketika itu juga saya masih lagi sebagai seorang pemain.
"Dua tahun lalu di Kuala Lumpur dia berjaya memenangi emas dalam acara double tetapi kali ini kami meletakkannya di acara tripple," katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Syed berkata, pasukannya yang tiba semalam hanya akan menjalani latihan esok sekali gus agak kesuntukan masa kerana saingan bakal bermula pada Isnin. "Kami cuba untuk melihat gelanggang dan berlatih hari ini tetapi kemudian dimaklumkan hanya akan dapat menjalani latihan esok.
"Jadi setakat ini saya tidak dapat memberikan gambaran sebenar mengenai permukaan gelanggang.
"Tapi saya percaya setiap atlet sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi apa sahaja situasi," katanya.
Skuad petanque kali ini disasarkan satu emas.
© New Straits Times Press (M) Bhd