Duterte mohon maaf kekurangan Sukan Sea

ORANG ramai beratur untuk menaiki kenderaan awam di depan Rizal Memorial Coliseum, venue pertandingan acara gimnastik Sukan Sea. — FOTO Osman Adnan
AFP

PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte memohon maaf atas pelbagai masalah mengenai persiapan Sukan Sea yang menimbulkan huru-hara terutama logistik dan kerja pembinaan saat akhir.

Penganjur edisi ke-30 itu kini menerima semakin banyak rungutan termasuk masalah pengangkutan, penginapan dan makanan ketika ribuan atlet sudah membanjiri Manila, Clark dan Subic bagi menyertai temasya dwitahunan itu.

Lebih memburukkan keadaan, ramalan satu taufan turut kian menghampiri kawasan utara negara itu, awal minggu depan.

“Saya memohon maaf bagi negara ini... Mereka (wakil negara lain) patut tahu kerajaan kami tidak gembira.

“Anda tidak boleh mengetepikan semua ketidakselesaan, penderitaan atlet yang tidur di lantai, kelaparan. Bagi negara yang menghantar mereka, ia satu masalah besar,” kata Duterte yang menyedari keadaan itu selepas meninjau venue pertandingan di sekitar Manila.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan penganjur memberi tiket percuma kepada rakyat tempatan yang mahu menyaksikan 56 acara sukan pada temasya itu.

Berdasarkan tinjauan Arena Metro di laman web pengurusan Pentadbiran Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina (Pagasa), ribut taufan Tisoy sedang bergerak menuju ke arah barat dengan kelajuan 25 kmj dengan tiupan angin 105 kmj.

Taufan itu difahamkan bergerak menuju ke Manila dan dijangka melanda esok iaitu sehari selepas upacara perasmian Sukan Sea.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 30 Nov 2019