Wendy tekad tebus duka KL2017

WENDY
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

PENERJUN kebangsaan, Wendy Ng menganggap pentas Sukan Sea Filipina 2019 amat penting dan bermakna buat dirinya yang kini berada pada prestasi terbaik untuk meraih pingat buat kontinjen negara.   

Olimpian berusia 26 tahun itu sebelum ini menempuh episod malang apabila terpalit dengan isu doping sehingga menyebabkan dua pingat emas yang dimenanginya pada Sukan Sea 2017 Kuala Lumpur (KL2017) dilucut dan turut dikenakan penggantungan lapan bulan. 

"Saya kini sedang berusaha keras termasuk masih menjalani rawatan kecederaan di bahu dan belakang badan. Namun, ia tidak serius atau membimbangkan saya.  

"Ya, Sukan Sea kali ini amat penting buat saya dan anda (wartawan) juga tahu mengapa saya berkata demikian," katanya ketika ditanya mengenai misi peribadinya ke temasya dwitahunan berkenaan.   

Dalam pada itu, Wendy berazam mengekalkan momentum prestasinya termasuk memperbaiki teknik terjunan untuk memberi saingan sengit di Filipina.

  "Persiapan diri saya berada pada tahap terbaik dan kejayaan meraih beberapa pingat pada Grand Prix Kuala Lumpur sebelum ini turut menyuntik semangat baharu untuk meraih pingat nanti," katanya yang pernah beraksi pada temasya Olimpik London 2012 dan Rio 2016 itu. 

Untuk rekod, Wendy antara empat penerjun wanita negara yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah Sabri.  

  Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu antara lapan atlet yang bakal menggalas cabaran kem terjun kebangsaan untuk merebut empat emas yang dipertandingkan di Pusat Akuatik New Clark City bermula Isnin ini. 

Pada KL2017, sukan akuatik termasuk acara terjun paling menyerlah dalam temasya itu apabila menghadiahkan keseluruhan 20 emas, 11 perak dan lima gangsa buat kontinjen negara.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 30 Nov 2019