Hampa tak masuk stadium

SEBAHAGIAN penduduk tempatan yang tidak berpuas hati selepas tidak dibenarkan masuk di Stadium New Clark City, Clark. FOTO: Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

HASRAT rakyat Filipina untuk menyaksikan upacara menyalakan obor saingan Sukan Sea malam ini di Stadium New Clark City berkecai apabila mereka tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan kompleks sukan.

Malah bukan orang ramai sahaja sebaliknya kumpulan media turut menerima nasib sama apabila diminta meninggalkan kawasan kompleks sukan sejak jam 4 petang.

Upacara menyalakan obor kejohanan itu berlangsung malam ini bersempena dengan majlis perasmian temasya Sukan Sea ke-30 di Philippine Arena.

Orang ramai yang beratur panjang di luar kompleks sukan terpaksa pulang hampa selepas anggota keselamatan mengarahkan mereka supaya bersurai dan meminta hadir jam 10 pagi esok.

Anggota keselamatan tidak dapat memberikan alasan terperinci sebaliknya menyatakan mereka hanya menerima arahan daripada pihak atasan.

Berang dengan penjelasan anggota keselamatan, ada segelintir daripada mereka menyuarakan rasa tidak puas hati.

"Kami beratur selama tiga jam tetapi tiba-tiba tidak dibenarkan masuk. Kerajaan membina dengan kos yang mahal untuk kompleks sukan ini tetapi akhirnya kami tidak dapat masuk," kata seorang rakyat Filipina.

Kumpulan media tempatan yang ditemui juga kesal kerana mereka diminta meninggalkan kompleks sukan tanpa alasan terperinci.

"Kami sendiri tidak pasti apa yang berlaku. Sebaliknya kami diarahkan untuk tidak berada di kawasan kompleks sukan," kata seorang wartawan tempatan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 30 Nov 2019