Perasmian Sukan Sea 2019 meriah

KONTINJEN Malaysia diketuai pembawa bendera, atlet bowling Rafiq Ismail bersama Ketua Kontinjen Datuk Megat Zulkarnain Omar Din serta 90 atlet Malaysia memasuki ruang utama pada majlis perasmian Sukan SEA FILIPINA 2019 di Philipine Arena. FOTO: Osman Adnan
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

UPACARA pembukaan rasmi Sukan SEA ke-30 di Arena Filipina yang bertema 'We Win As One' dibuka secara meriah dan berwarna warni yang dilangsungkan buat pertama kalinya di venue tertutup, di sini, malam tadi.

Venue yang dibina dengan menelan kos 213 juta dollar (RM891 juta) itu menyaksikan 55,000 penonton terhibur dengan pelbagai persembahan tradisional serta budaya popular Filipina.

Biarpun imej tuan rumah sedikit tercemar ekoran masalah persediaan venue pertandingan dan logistik, upacara pembukaan rasmi itu sekurang-kurangnya menutup kepincangan tuan rumah.

Perasmian temasya dwitahunan itu diserikan dengan kehadiran Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang hadir merasmikan Sukan Sea kali ini.

Kemuncak acara adalah kemasukan 11 kontinjen negara bertanding yang membabitkan kira-kira 5,500 peserta terdiri daripada atlet dan pegawai.

Perarakan masuk negara anggota mengikut abjad bermula dengan Brunei, diikuti Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor Leste, Vietnam dan diakhiri dengan kontinjen tuan rumah.

Kontinjen negara tampil segak memakai baju melayu bertengkolok, lengkap bersamping merah buat atlet lelaki manakala atlet wanita menggayakan baju kurung berwarna putih serta selendang.

Ia memberikan sentuhan istimewa buat kontinjen Malaysia yang diketuai Datuk Megat Zulkarnain Omardin serta pembawa Jalur Gemilang, Muhammad Rafiq Ismail yang juga atlet boling elit negara.

Nyalaan obor menandakan bermulanya misi negara untuk memenangi emas pertama yang dijangka diraih esok menerusi tiga acara final iaitu polo ekuestrian, luncur ais, wushu dan sukan tarian.

Tampil dengan status juara bertahan, skuad polo negara akan membuat perhitungan dengan Filipina dalam aksi final di Padang Polo Inigo Zobel di sini, esok.

Manakala, atlet luncur ais senasi negara, Julian Yee yang hadir sebagai juara bertahan kategori lelaki berada di landasan tepat bagi mempertahankan emas dimenanginya dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

Acara wushu dalam acara changquan lelaki menerusi gandingan Wong Weng Soon dan Yeap Wai Kin berpeluang memenangi emas pertama buat Malaysia esok.

Kontinjen negara berjumlah 773 orang atlet menyertai 52 daripada 56 acara sukan yang dipertandingkan pada edisi kali ini dengan sasaran kutipan 70 pingat emas.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 30 Nov 2019