'Desakan mereka, motivasi saya'

KIM Swee (kanan) mahu anak buah manfaat baki perlawanan. FOTO/NSTP
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

DATUK Ong Kim Swee enggan melayan sebarang desakan segelintir pihak yang mahu beliau meletakkan jawatan selaku jurulatih skuad bawah 22 (B-22) tahun negara ketika peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir Sukan Sea 2019 masih terbuka.

Bagaimanapun, Kim Swee mengakui ini adalah penampilan terakhirnya di pentas Sukan Sea itu selepas membimbing pasukan dalam empat edisi lalu bermula di temasya Indonesia (2011), Myanmar (2013), Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017).

"Perkara (letak jawatan) yang tak difikirkan langsung. Kita tahu yang kita mempunyai dua perlawanan dan kita masih lagi mempunyai peluang dan jika kita mampu mencatat dua kemenangan dengan keselesaan gol.

"Bagi saya desakan-desakan ini pasti akan memberi satu lagi motivasi, bukan saja buat saya malah pasukan.

"Dengan apa jua kritikan sekalipun dan apa jua berlaku, jika kita layak ataupun tidak...apa yang boleh saya maklumkan di sini di mana ini pasti ini akan menjadi Sukan Sea yang terakhir buat saya," katanya ketika ditemui di hotel penginapan pasukan, hari ini.

Jelas pengendali yang pernah menghadiahkan pingat emas (2011) dan pingat perak (2017) itu, misinya ketika ini adalah untuk memastikan pasukan mampu bangkit dalam dua baki aksi Kumpulan A menentang Timor Leste bagi menghidupkan peluang mengintai slot ke pusingan kalah mati.

"Yang penting kita perlu fokus daripada memikirkan perkara-perkara negatif di mana saya percaya dengan kemampuan pemain kita.

"Bagi saya pasukan mampu layak dan kita kena menang dua perlawanan selepas ini dengan lebih gol dan jika tuah menyebelahi kita pasti kita mampu melakukan," katanya.

Kim Swee dikritik hebat oleh peminat tempatan selepas skuad kendaliannya tewas 0-1 kepada Filipina di Stadium Memorial Rizal semalam.

Skuad negara ketika ini menghuni tangga keempat dengan satu mata hasil keputusan seri 1-1 diraih ketika menentang Myanmar Isnin lalu.

Berdasarkan kedudukan semasa, Myanmar dilihat selangkah ke pusingan berikut selepas berjaya mengumpul tujuh mata dan mereka hanya memerlukan keputusan seri dalam aksi terakhir bertemu Kemboja hari ini.

Persaingan merebut satu lagi slot kini terarah kepada tiga pasukan iaitu Kemboja (empat mata), Filipina (empat mata) dan Malaysia.

Untuk layak, skuad negara wajib mencatat kemenangan dalam dua baki aksi menentang Timor Leste hari ini dan Kemboja Rabu ini.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Sabtu, 30 Nov 2019