Tak layanlah...

KIM Swee fokus persiap aksi anak buah. FOTO/NSTP
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

DATUK Ong Kim Swee enggan melayan desakan segelintir pihak yang mahu beliau meletakkan jawatan selaku jurulatih skuad bawah 22 (B-22) tahun negara ketika peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir Sukan Sea 2019 masih terbuka.

Bagaimanapun, Kim Swee mengakui ia penampilan terakhirnya di pentas Sukan Sea selepas membimbing pasukan dalam empat edisi lalu bermula di temasya Indonesia (2011), Myanmar (2013), Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017).

“Perkara (letak jawatan) yang tak difikirkan langsung. Kami sedar mempunyai dua perlawanan lagi dan kami masih mempunyai peluang jika kami mampu mencatat dua kemenangan dengan keselesaan gol.

“Bagi saya desakan ini pasti akan memberi satu lagi motivasi, bukan saja buat saya malah pasukan.

“Dengan apa jua kritikan sekalipun dan apa jua berlaku, jika kami layak atau tidak... apa yang boleh saya maklumkan di sini, ini pasti menjadi Sukan Sea yang terakhir buat saya,” katanya ketika ditemui di hotel penginapan pasukan, semalam.

Jelas pengendali yang pernah menghadiahkan pingat emas (2011) dan pingat perak (2017) itu, misinya ketika ini adalah untuk memastikan pasukan mampu bangkit dalam dua baki aksi Kumpulan A menentang Timor Leste dan Kemboja bagi menghidupkan peluang mengintai slot ke pusingan kalah mati.

“Yang penting kami perlu fokus daripada memikirkan perkara negatif dan saya percaya dengan kemampuan pemain kami.

“Bagi saya pasukan mampu layak dan kami mesti menang dua perlawanan selepas ini dengan banyak gol dan jika tuah menyebelahi kami pasti mampu melakukannya,” katanya.

Kim Swee dikritik hebat peminat tempatan selepas skuad kendaliannya tewas 0-1 kepada Filipina di Stadium Memorial Rizal, kelmarin.

Skuad negara ketika ini menghuni tangga keempat dengan satu mata hasil keputusan seri 1-1 ketika menentang Myanmar Isnin lalu.

Berdasarkan kedudukan semasa, Myanmar dilihat selangkah ke pusingan berikut selepas mengumpul tujuh mata dan mereka hanya memerlukan keputusan seri dalam aksi terakhir bertemu Kemboja esok.

Persaingan merebut satu lagi slot kini terarah kepada tiga pasukan iaitu Kemboja (empat mata), Filipina (empat mata) dan Malaysia.

Untuk layak, skuad negara wajib mencatat kemenangan dalam dua baki aksi menentang Timor Leste esok dan Kemboja Rabu ini.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 01 Dec 2019