Syed Saddiq puji sensitiviti KBS

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO Aswadi Alias
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

TINDAKAN pantas pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengarahkan Penganjur Sukan Sea Filipina (Phisgoc) menggantikan Jalur Gemilang yang salah mendapat pujian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini.

Menerusi ciapan di Twitternya, Syed Saddiq turut kesal dengan kejadian berlaku iaitu bendera Malaysia yang salah hampir dikibarkan pada upacara penyampaian pingat emas kepada atlet wushu negara, Loh Choon How di Pusat Dagangan Dunia di Manila, hari ini.

“Tahniah kepada #TeamKBS yang cepat bertindak. I am proud of all of you (saya berbangga dengan anda semua). Kesilapan seperti ini tidak patut berlaku,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan kontinjen Malaysia kesal dan mahu tuan rumah temasya Sukan Sea ke-30 menukar segera bendera Jalur Gemilang yang betul dalam tempoh 24 jam.

Gesaan dibuat sejurus mereka mengesan kesilapan ketika Jalur Gemilang disiapkan untuk dinaikkan bersama iringan lagu Negaraku pada majlis itu.

Namun, belum sempat upacara penyampaian pingat dijalankan, kontinjen negara yang diketuai Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengesan kesilapan itu dan meminta Phisgoc segera menukar bendera berkenaan.

Susulan insiden itu, upacara berkenaan tertangguh hampir 20 minit sebelum Choon How secara rasminya diumumkan sebagai pemenang sekali gus menghadiahkan emas pertama negara.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Ahad, 01 Dec 2019