Russel di landasan tepat kutip pingat

RUSSEL Alexander.
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

PELARI pecut yang berpangkalan di Australia, Russel Alexander Nasir Taib kini berada di landasan tepat untuk menyumbang pingat buat kontinjen negara bagi acara 200 meter (m) pada Sukan Sea Filipina.

Keyakinan itu disuarakan ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abd Jalil bersandarkan kejayaan atlet kelahiran Kuala Lumpur berkenaan yang memperoleh catatan terbaik musim ini pada Kejohanan Benita Willis Shield, Brisbane, bulan lalu.

“Saya sememangnya sentiasa mengikuti rapat perkembangan Russel yang dilihat terus konsisten dengan turut mencatat kepantasan 21.05 saat (s) dalam satu kejohanan di Australia.

“Ia membuktikan pelari muda itu kini berada pada prestasi terbaik untuk meraih pingat dalam acara kegemarannya (200m) sekali gus menaiki podium di Filipina nanti,” katanya kepada Arena Metro.

Selain menjuarai acara 200m kejohanan tahunan itu, Russel turut beraksi cemerlang dengan meraih pingat emas dalam acara 100m sekali gus memperoleh catatan terbaik peribadinya, 10.42s.

Mohd Manshahar berkata, perbincangan turut dilakukan bagi meletakkan atlet berusia 21 tahun itu untuk beraksi dalam acara riben biru namun tidak kesampaian.

“Russel mahu lebih memfokuskan kepada acara 200m dan saya menghormati keputusannya itu,” katanya. Pada edisi Filipina kali ini, atlet berdarah campuran Malaysia-Australia itu turut akan menggalas cabaran bersama kuartet kebangsaan dalam acara 4x100m lelaki dan campuran di New Clark City, bermula Jumaat ini.

Untuk rekod, Russel masih memegang catatan terpantas 200m kebangsaan iaitu 20.77s yang dilakukannya pada Kejohanan Trek Klasik Queensland, Mac lalu, mengatasi rekod terdahulu milik Khairul Hafiz Jantan (20.90s).

Pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017, Khairul Hafiz meleburkan rekod lama berusia 49 tahun milik Tan Sri Dr M Jegathesan iaitu 20.92s yang dilakar legenda negara itu di Sukan Olimpik Mexico 1968.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 02 Dec 2019