Nak banyak gol!

AKSI Hadi Fayyadh ketika Malaysia menentang Filipina. FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

SELEPAS gagal membantu pasukan meraih kemenangan ketika tewas 0-1 kepada Filipina Jumaat lalu, penyerang skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Hadi Fayyadh Abdul Razak tidak sabar untuk berdepan Timor Leste di Stadium Memorial Rizal, malam ini.

Pemain berusia 20 tahun yang berpangkalan di Liga Dua Jepun bersama kelab Fagiano Okayama itu berkata, kemenangan ke atas Timor Leste cukup penting dan dia tidak mahu mengecewakan pasukan.

Katanya, satu gol yang disumbangkan pada aksi pertama bertemu Myanmar ketika seri 1-1 belum cukup memuaskan hatinya kerana misinya kini adalah untuk menewaskan Timor Leste bagi membuka peluang ke separuh akhir.

“Jaringan memang amat penting. Sebagai penyerang saya akan bagi yang terbaik dan cuba meraih gol.

“Tapi apa yang penting kami akan cuba pastikan kemenangan dan itu paling penting. Saya harap semua pemain dapat beri 100 peratus untuk perlawanan esok (malam ini) dan kami cuba dapatkan banyak gol,” katanya.

Hadi antara pemain paling konsisten dalam skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee setakat ini.

Selain menyumbat satu gol, pemain tinggi lampai itu rajin membantu barisan tengah dan pertahanan terutama ketika sepakan sudut pasukan lawan.

emain kelahiran Kuala Lumpur yang pernah beraksi buat Johor Darul Ta’zim II (JDT II) itu dijangka akan membentuk gandingan bersama Luqman Hakim Shamsudin dan Akhyar Rashid di depan dengan formasi tiga penyerang.

“Kami akan cuba gunakan dengan baik setiap peluang untuk jaringkan gol. Kami sedar perlawanan ini wajib menang dan tak ada perkataan untuk kalah dan kami akan berhabis-habisan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 02 Dec 2019