Choon How tambah koleksi emas

Aksi Loh Choon How dalam acara akhir Wushu Taijijian lelaki Sukan Sea Filipina. FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

GERAKAN lembut ditambah fleksibiliti dan keseimbangan badan yang baik menyaksikan atlet wushu negara, Loh Choon How berjaya memukau mata juri untuk dia meraih pingat emas acara taijijian di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Manila, Filipina, hari ini.

Di sebalik wajah ceria Choon How menghadiahkan pingat emas kedua dalam acara taijijian hadir dengan penuh perit apabila mengalami kecederaan belakang selepas berakhirnya acara taijiquan semalam.

Atlet berusia 26 tahun itu berkata, selepas berjaya meraih pingat emas pertama semalam, dia mengalami sakit belakang yang mencengkam hingga mengganggu tidurnya.

Namun selepas mendapatkan rawatan daripada pegawai Institut Sukan Negara (ISN), kesakitan dapat dikurangkan sebelum dia turun ke gelanggang sama hari ini.

Katanya, beberapa minit sebelum namanya dipanggil oleh juri untuk memulakan aksi, sakit itu kembali datang namun dia tetap meneruskan persembahan.

"Hari ini saya ada rasa sakit di belakang saya. Sebelum datang ke venue, tak sakit sangat tetapi selepas buat sesi memanaskan badan sakit itu datang balik.

"Sebenarnya tiga bulan sebelum Sukan Sea ini bermula, saya dapat kecederaan belakang. Tapi dah pulih sepenuhnya cuma selepas berakhirnya acara taijiquan semalam tiba-tiba sakit itu datang.

"Nasib baik saya dapat buat terbaik juga dan akhirnya menang emas kedua dan saya amat teruja," katanya.

Dia yang masih segar dengan kejayaan memenangi emas semalam menerusi acara taijiquan berjaya meraih mata tertinggi 9.68 mata.

Pencabar terdekat dari Filipina, Jones Llabres mengutip 9.65 mata untuk meraih perak manakala atlet Brunei, Hosea Wong membawa pulang gangsa apabila mengutip 9.60 mata.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 02 Dec 2019