Rimau 7s siap sedia

Skuad ragbi Rimau 7s bergambar bersama pimpinan KRM selepas memperkenalkan pemain. FOTO Ihsan KRM
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

SKUAD ragbi tujuh sepasukan kebangsaan (Rimau 7s) bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal untuk Sukan Sea ke-30 di Filipina.

Ketua Jurulatih, Mohd Saizul Hafifi Md Noor berkata, 12 pemain diumumkan kelmarin amat berpengalaman dalam berbagai pertandingan ragbi di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Katanya, secara keseluruhan juga kelemahan dan kekurangan pasukan dikesan sebelum ini sudah diatasi dalam misi mengekalkan pingat emas dimenangi pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

"Pemain dibawa ke Sukan Sea kali ini paling berpengalaman kecuali Mohamad Sofian Mohd Kamil yang sebelum ini beraksi dengan skuad 15 sebelah.

"Begitu juga kemasukan semula Zulkiflee Azmi yang juga bekas ketua pasukan akan memantapkan lagi pasukan," katanya.

Menurutnya, kecuali tuan rumah Filipina, skuad negara sudah bermain dengan pasukan Indonesia, Laos, Singapura, Thailand dan Kemboja pada tahun ini.

“Pencabar lain seperti Singapura dan Thailand juga tidak boleh dipandang sebelah mata kerana dibimbing jurulatih hebat dari England dan New Zealand,” katanya.

Senarai pemain Rimau 7S :

Muhamad Firdaus Tarmizi, Amalul Hazim Nasarrudin, Muhammad Siddiq Amir Jalil, Wan Izzuddin Ismail dan Muhammad Ameer Nasrun Zulkefli, Anwarul Hafiz Ahmad, Mohamad Nasharuddin, Mohamad Sofian, Zulkiflee, Muhammad Zulhisham Rasli, Muhammad Dzafran Asyraaf Muhamad Zainuddin, Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 02 Dec 2019