Taqiyuddin, Sazzlan raih emas ganda putra

TAQIYUDDIN menang emas acara Ganda Putra bersama Sazzlan. - FOTO MSN
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

KELEBIHAN kepelbagaian teknik menjadi kunci kepada kejayaan Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga meraih pingat emas dalam acara ganda putra hari ini.

Berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic Bay, pesilat negara itu pada awalnya berkongsi 564 mata bersama pesilat Filipina namun juri memberi kemenangan kepada pesilat negara kerana mempamerkan lebih banyak teknik.

"Memang saya menjangkakan kami akan mendapat tentangan sengit daripada peserta Filipina dan juri memberikan kemenangan kepada peserta negara kerana mereka lebih menyerlah. "Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ini kerana kami sememangnya mengharapkan emas pertama di raih hari ini. Kejayaan ini diharap memberi suntikan semangat kepada pesilat lain untuk terus memburu pingat," kata pengurus pasukan, Zaihan Mohd Isa.

Zaihan berkata, kehadiran Ketua Kontinjen ke Sukan Sea (CDM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) turut memberi suntikan semangat kepada atlet negara.

Skuad silat negara juga meraih satu gangsa menerusi Muhammad Syafiq Ibrahim, Mohd Juned Abdullah dan Nashrul Edzam Mohd Asri dalam acara regu putera.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 02 Dec 2019