Aznil akhiri kemarau pingat

AZNIL beraksi dalam acara angkat berat kategori 61kg. - FOTO Bernama
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

SIKAP tidak mudah berputus asa dan sentiasa mahu mencabar diri menyaksikan atlet angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin menamatkan badi meraih pingat gangsa Sukan Sea 2019 di Stadium Ninoy Aquino, Manila, hari ini.

Dia yang kempunan membawa pulang sebarang pingat dalam tiga temasya dwitahunan sebelum ini berjaya meraih podium dalam kategori 61 kilogram (kg) lelaki selepas melakukan angkatan sejumlah 283kg.

Jelas badang berusia 25 tahun itu, dia mengakui cukup gembira dengan kejayaan itu dan berharap momentum sama dapat dikekalkan untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Jepun nanti.

"Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya meraih pingat selepas penantian lama. Selepas ini saya akan cuba melayakkan diri ke Tokyo dalam baki dua kejohanan yang saya akan sertai selepas ini.

"Saya perlu mendapatkan kedudukan lima terbaik dalam dua kejohanan peringkat Asia pada bulan Februari dan April nanti. Saya akan cuba buat yang terbaik," katanya selepas upacara penyampaian pingat.

Pingat emas dimenangi Olimpian Indonesia yang juga pemenang perak Sukan Olimpik 2016, Eko Yuli Irawan manakala perak milik juara dunia 2017, Thach Kim Tuan dari Vietnam.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Isnin, 02 Dec 2019