Weng Kean buru kilauan emas

WENG Kean. FOTO M8HEXA
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

SEBELUM ini Dr Yew Weng Kean lebih banyak bergelumang dengan skop kerja mengajar, namun bulan ini tugas utamanya membawa pulang sebutir emas daripada Sukan Sea Filipina.

Lebih menarik Weng Kean bukan beraksi dalam sukan biasa ataupun turun temurun sejak edisi sulung 1959 tapi e-sukan yang membuat penampilan kali pertama di temasya dwitahunan itu.

Pensyarah kejuruteraan elektrikal di Universiti Heriot Watt di Putrajaya ini sanggup mengorbankan cuti tahunannya asalkan mampu untuk meraih emas dalam acara Hearthstone.

“Setakat ini persiapan saya sudah 70 peratus dan berusaha akan tambah sehari demi sehari agar ia menjadi 110 peratus,” katanya ketika ditemui Arena Metro di Majlis Bertemu Peminat Pemain E-Sukan Boost semalam.

Weng Kean yang mula mewakili negara sejak tiga tahun lalu mengakui pemain Haerthstone mampu menggalas harapan negara sekali gus menepati sasaran membawa pulang sebutir emas.

“Kalau permainan lain ia banyak membabitkan kemahiran individu dan ranking, Hearthstone di peringkat Asia Tenggara menyaksikan Malaysia tidak berada di kedudukan terendah.

“Kita mempunyai kemahiran sama dan permainan ini adakalanya bergantung pada nasib. Bagaimanapun, kita sudah melakukan persiapan terbaik dan pada masa sama jurulatih kita juga sudah melakukan pemantauan terhadap skuad tuan rumah,” katanya.

Atlet berusia 29 tahun ini juga mengakui berada pada tahap terbaik dan dalam motivasi tinggi kerana Sukan Sea adalah temasya yang sangat diidamkannya untuk mempamerkan kehebatan.

“Saya mahu menguasai kejohanan peringkat Asia Tenggara dan ini (Sukan Sea) adalah platform terbaik buat saya membuktikannya. Pada masa sama saya juga tidak pernah terfikir akan mewakili negara di Sukan Sea,” katanya.

E-sukan akan membuka tirai pada 5 Disember ini di Manila dan menawarkan enam emas melalui permainan video Hearthstone, Tekken7, Dota2, Mobile Legend:Bang Bang (MLBB), Arena of Valor (AOV) dan StarcraftII.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 03 Dec 2019