Makanan atlet, pegawai tiba lewat

ATLET dan pegawai skuad boling padang negara menjamu selera selepas makanan tiba pada pukul 1 tengah hari. FOTO/AIZUDDIN SAAD.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

PERSIAPAN skuad boling padang negara menjelang aksi final semalam terjejas selepas makanan tengah hari untuk atlet dan pegawai lewat tiba.

Ia menyebabkan aksi final yang sepatutnya berlangsung jam 1 tengah hari ditangguhkan seketika bagi memberi peluang kepada atlet negara menjamu selera.

Menurut pengurus pasukan, Syed Zainal Abidin, pihak sekretariat pada awalnya memaklumkan bekalan makanan dari perkampungan sukan sepatutnya tiba di venue pertandingan jam 11.30 pagi.

“Kami berada di venue sejak awal pagi lagi dan sepatutnya makanan tengah hari tiba jam 11.30 pagi.

“Tetapi hanya pada jam 1 tengah hari makanan baru sampai dari perkampungan sukan,” katanya.

Jelas Syed Zainal, situasi itu sudah pasti menjejaskan fokus atletnya yang kelaparan.

Sebaik bekalan makanan tiba, aksi final ditangguhkan kira-kira setengah jam bagi memberi peluang kepada atlet negara menjamu selera.

Skuad boling padang negara beraksi tiga acara final iaitu pairs wanita, four wanita dan triples lelaki.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 03 Dec 2019