Fu Jie unggul, Farah raih emas kedua

FU Jie (tengah) kekal penguasaan dalam acara kekuda pelana. - Foto MSN Malaysia
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

BERKAT berlatih lebih daripada dua jam sehari menyaksikan atlet gimnastik lelaki negara, Tan Fu Jie berjaya mengekalkan pingat emas dalam acara kekuda pelana selepas meraih 13.967 mata di Kompleks Sukan Memorial Rizal hari ini.

Fu Jie, 23, yang berasal dari Terengganu berkata, sebelum ini dia hanya berlatih selama dua jam namun sebagai persediaan untuk ke Sukan Sea Filipina kali ini, dia menghabiskan masa empat jam untuk meningkatkan lagi aksinya.

Jelasnya, pengorbanan itu berbaloi apabila dia berjaya mengekalkan emas dimenangi dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

"Latihan kali ini cukup berbeza berbanding dua tahun lalu di mana saya menambah waktu latihan kira-kira sebulan lalu. Tak sangka saya dapat mempertahankan emas ini kerana atlet Filipina juga hebat. Saya harap kejayaan ini tidak terhenti di sini saja dan saya akan lipat gandakan usaha untuk kejohanan lain," katanya.

Dalam acara final lelaki individu itu, Fu Jie mengenepikan wakil tuan rumah, Carlos Yulo yang sekadar memungut 13.233 mata di tempat kedua manakala atlet Vietnam, Dinh Phuong Thanh meraih gangsa dengan 12.867 mata.

Sementara itu, ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi menambah koleksi emas kedua hari ini apabila mengungguli acara palang bertingkat dengan mengumpul mata tertinggi 12.367.

Dia mengatasi Huong Do Thi Ngoc dari Vietnam 11.767 untuk pingat perak manakala seorang lagi wakil negara, Rachel Yeoh memenangi gangsa biarpun memungut mata yang sama dengan Huong Do.

Semalam, Farah membuka gelanggang gimnastik dengan emas kelimanya secara peribadi sepanjang temasya Sukan Sea sejak menyertainya pada 2011 selepas memenangi acara individu keseluruhan dengan mengumpul 48.050 mata diikuti atlet Indonesia, Irfanaluthfi Rifda (47.800 mata) untuk perak dan seorang lagi wakil negara, Tan Ing Yueh (46.900 mata) yang memenangi gangsa.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 03 Dec 2019