Faizul sudah sedar

FAIZUL mengalami kecederaan ketika menentang Dines. - FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

"DIA sudah sedar tapi masih dalam keadaan lemah." Demikian pengesahan pengurus skuad silat negara, Zaihan Mohd Isa berhubung situasi terkini pesilat negara, Muhammad Faizul M Nasir selepas tidak sedarkan diri ketika tewas kepada peserta tuan rumah, Dines Dumaan pada pusingan awal Kelas Putra B (50- 55kg).

Jelas Zaihan, ketika ini Faizul sudah dipindahkan ke Pusat Perubatan Clark City dari Hospital Baypointe Subic.

"Saya dimaklumkan oleh pegawai ISN (Institut Sukan Negara) yang Faizul sudah sedar. "Sekarang saya berada di hospital menunggu keputusan CT Scan (imbasan tomografi berkomputer) dan kemudian baru dapat melawatnya," katanya ketika dihubungi.

Zaihan meminta rakyat Malaysia mendoakan kesihatan anak buahnya itu.

"Kami berharap tiada yang serius berlaku. Doakan Faizul cepat sembuh," katanya.

Terdahulu Faizul dilihat terbaring lebih tiga minit tanpa mendapat bantuan perubatan ketika wasit sedang mengira mata sebelum mengumumkan kemenangan 5-0 untuk Dumaan. Kemudian barulah Faizul dikejarkan ke hospital dari Pusat Pameran dan Konvensyen Subic Bay.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 03 Dec 2019