Faizul sebak gagal pertahan emas

STEVEN dan Timbalan Ketua Kontinjen, Nurul Huda Abdullah melawat Faizul di Medical City. FOTO Twitter Steven Sim

“SAYA beritahu Faizul bahawa beliau sudah pun seorang wira di mata kita. Saya yakin rakyat Malaysia turut akan berasa bangga dengan usaha dan prestasi dia selama ini,” menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim ketika melawat pesilat negara, Muhammad Faizul M Nasir di Medical City, sebentar tadi.

Menurut Steven, Faizul sebak dan kesal kerana tidak dapat menyumbang pingat emas buat negara malah tidak sedarkan diri selepas 'tumbang' ketika menentang atlet Filipina, Dines Dumaan, hari ini.

Faizul dikejarkan ke Bay Point Hospital di Subic, Filipina dan kemudiannya dipindahkan ke Medical City di Clark untuk rawatan lanjut.

“Setakat ini Faizul sudah menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan beliau kini sudah sedarkan diri serta berada dalam keadaan stabil.

“Bagaimanapun, hospital memaklumkan bahawa beliau masih perlu berada di bawah pemerhatian doktor. Saya sudah berbincang dengan Dr Victor, pegawai kluster perubatan pihak penganjur Sukan SEA Manila dan menegaskan bahawa Faizul mesti mendapat khidmat perubatan terbaik di sini.

“Ayuh kita semua doakan kesembuhan buat Faizul ,” katanya.

Faizul mencetuskan suasana panik selepas tidak sedarkan diri ekoran tindakan susulan Dumaan melepaskan tendangan di muka semasa atlet negara berusia 31 tahun itu dalam keadaan terbaring di lantai gelanggang.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Selasa, 03 Dec 2019