Boy janji aksi mantap

DANIEL ketika sesi latihan. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

DANIEL Amier Norhisham pernah dijulang antara tonggak tengah muda terbaik negara terutama ketika di Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bawah 23 (B-23) di China tahun lalu, namun prestasinya kini jauh berbeza malah agak tenggelam.

Ia turut diakui Daniel atau Boy yang kecewa dengan permainannya sepanjang tiga aksi peringkat Kumpulan A Sukan Sea 2019.

Dia yang lahir daripada Akademi Bolasepak Frenz United sebelum menyertai Felda United pada 2017, adalah tonggak utama kejayaan skuad B-23 di pusingan akhir AFC yang mencipta sejarah buat kali pertama mara ke suku akhir kejohanan.

Paling diingati, sudah tentunya ledakan padu dari luar kotak penalti ketika membenam gergasi bola sepak Asia, Arab Saudi 1-0 yang membolehkan skuad negara mara ke peringkat lapan terbaik sebelum disekat Korea Selatan dengan kekalahan 1-2.

Jelas Daniel, dia mahu membalas kepercayaan Datuk Ong Kim Swee apabila bertemu Kemboja pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Memorial Rizal petang ini sekiranya diturunkan pengendali negara itu.

“Saya kecewa dengan prestasi sendiri. Apa yang saya tahu, saya mampu bermain lebih baik.

“Saya kena cari balik rentak dan bantu skuad kita ke separuh akhir,” katanya ketika ditemui Arena Metro, semalam.

Sementara itu, kekalahan 0-1 kepada Kemboja di Kejuaraan Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) bawah 22 (B-22) pada Februari lalu, bukanlah petanda yang skuad negara bakal ‘bungkus’ awal daripada saingan Sukan Sea 2019.

Penyerang skuad B-22, Hadi Fayyadh Abd Razak berkata, walaupun rekod pertemuan kedua-dua pasukan tahun ini lebih memihak skuad Angkor Warriors, dia percaya rakan sepasukan sudah bersedia untuk menebus kekalahan itu.

“Harap itu (tewas awal tahun di AFF) tak mempengaruhi pasukan, saya ambil ia sebagai pembakar semangat untuk kita jadi lebih baik,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 04 Dec 2019