Faizul makin stabil

Timbalan Ketua Kontinjen, Nurul Huda Abdullah bersama Jefri (kiri) melawat Faizul di Hospital Pakar Clark City, Clark. FOTO Ihsan MSN.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

PESILAT kebangsaan, Muhammad Faizul M Nasir menunjukkan perkembangan positif apabila sudah boleh bergerak dan menjamah makanan.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin yang sempat melawat Faizul berkata, doktor memaklumkan Faizul perlu ditahan selama 72 jam sejak dimasukkan ke hospital semalam untuk pengawasan rapi.

"Kemudian doktor pakar saraf sudah melihat hasil MRI (Imej Resonan Magnetik) dan X-ray. Saya difahamkan Faizul memang ada kecederaan sikit di bahagian tisu leher. Lain-lain ok tak ada pendarahan," katanya.

Jefri berkata, pengawasan selama 72 jam itu adalah prosedur biasa.

"Ketika ini dia masih di ICU (Unit Rawatan Rapi) dan jika semuanya ok, dia boleh keluar," katanya.

Faizul tidak sedarkan diri ketika tewas kepada peserta tuan rumah, Dines Dumaan pada pusingan awal Kelas Putra B (50- 55kg) semalam.

Pemenang pingat emas edisi 2015 dan 2017 itu dilihat terbaring lebih tiga minit tanpa mendapat bantuan perubatan ketika wasit sedang mengira mata sebelum mengumumkan kemenangan 5-0 untuk Dumaan.

Faizul pada awalnya dikejarkan ke Hospital Baypointe Subic sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Clark City.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 04 Dec 2019