Kemboja lanyak skuad Kim Swee

PEMAIN Malaysia, Luqman Hakim bersaing dengan pemain Kemboja, Keo Sokpheng di Stadium Memorial Rizal. FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

APA sudah jadi? Itu persoalan berlegar selepas skuad bawah 22 (B-22) tahun negara mencipta tiga sejarah hitam di bumi Filipina apabila tewas 1-3 kepada Kemboja dalam aksi terakhir Kumpulan A saingan Sukan Sea 2019 di Manila, hari ini.

Kekalahan itu bukan saja 'menendang' skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee keluar daripada persaingan ke separuh akhir, malah ia sejarah hitam kedua selepas dimalukan 0-1 oleh Filipina sebelum ini.

Bukan itu saja, kekalahan kepada Kemboja adalah yang pertama buat Malaysia kepada lawan sama sejak temasya dwitahunan itu diperkenalkan pada 1959.

Malah, kegagalan melepasi peringkat kumpulan ini turut mencemar reputasi Kim Swee yang menghadiahkan pingat emas pada Sukan Sea 2011 di Indonesia serta perak di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Memorial Rizal itu menyaksikan hanya satu pertukaran dalam kesebelasan utama dengan pemain Kelantan, Danial Haqim Draman menggantikan tonggak Felda United, Danial Amier Norhisham di bahagian tengah.

Menampilkan formasi 3-5-2 berbanding 3-4-3 dalam tiga aksi sebelum ini, skuad negara dilihat lebih banyak menerima asakan lawan yang turut memburu kutipan tiga mata penuh.

Kemboja yang dibimbing pengendali dari Argentina, Felix Dalmas tampil lebih merbahaya dengan beberapa siri gerakan ke kubu negara.

Bagaimanapun, tiada sebarang jaringan berjaya dicatat sepanjang 45 minit pertama dengan Malaysia hanya mampu melakukan satu percubaan tepat ke gawang Kemboja.

Mimpi buruk skuad negara sebaliknya bermula di babak kedua apabila sepakan penjuru Kemboja di minit ke-56 gagal ditampan kemas Haziq Nadzli yang kemudiannya disambar In Sodavid untuk gol pendahuluan perlawanan.

Tidak sempat skuad negara memperkemaskan aksi, gawang negara bolos lagi tiga minit kemudian hasil rembatan kaki kiri Sieng Chanthea menewaskan Haziq.

Walaupun Kim Swee membawa masuk dua tenaga baharu Quentin Cheng dan Akhyar Rashid, sebaliknya skuad Angkor Warriors terus selesa meraih gol ketiga hasil percubaan Keo Sokpheng untuk menambah derita negara di mint ke-68.

Ketika perlawanan memasuki minit terakhir permainan, pemain gantian Quentin yang beraksi di Liga Australia berjaya meraih gol saguhati buat skuad negara.

Dengan keputusan itu, Kemboja mengiringi Myanmar ke pusingan kalah mati yang dijadual berlangsung Sabtu ini.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 04 Dec 2019