Khidmat Tracey terus ditagih

SKUAD bola jaring negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

KEJAYAAN memastikan pingat emas acara bola jaring kekal dalam genggaman Malaysia buat kali kedua berturut-turut di temasya Sukan Sea, jelas membuktikan betapa khidmat jurulatih, Tracey Robinson masih ditagih skuad kebangsaan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM), Zainon Md Noh berkata, justeru pihaknya yakin khidmat jurulatih asal Australia itu akan dikekalkan tahun depan bagi membimbing skuad senior dan junior.

Katanya, bimbingan Tracey amat penting dalam perancangan PBJM untuk mempersiapkan pasukan bola jaring remaja ke kejohanan bola jaring Asia di Korea Selatan penghujung Jun depan dan Kejohanan Dunia di Fiji pada 2021.

"Soal jurulatih kebangsaan ini pihak saya akan bawa berbincang dengan Majlis Sukan Negara dan PBJM. Insya-Allah mungkin akan diteruskan kerana khidmat dia (Tracey) amat diperlukan memandangkan kami ada perancangan bagi skuad remaja dan senior.

"Skuad bola jaring remaja kita layak ke kejohanan dunia di Fiji selepas muncul juara remaja Asia menewaskan Singapura dalam pertandingan di Jepun pada Julai lalu," katanya.

Beliau berkata kepada media ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) hari ini bersama skuad emas bola jaring.

Sementara itu, Tracey berkata, dia belum memikirkan kontrak baru memandangkan khidmatnya bagi membimbing skuad bola jaring kebangsaan hanya akan berakhir bulan ini.

"Setakat ini, belum ada pihak daripada MSN datang berbincang atau menawarkan kontrak baru kepada saya. Saya mahu berehat selepas Sukan Sea dan menunggu apa-apa perkembangan selepas ini. Apapun saya sangat selesa dengan negara ini, sukan bola jaring dan pemain saya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 04 Dec 2019