Baas bikin pemain negara panas

LAGAK Baas menepuk bahu pemain skuad B-22 negara selepas tamat perlawanan. - FOTO Agensi
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

NAMA pemain skuad Sukan SEA Filipina, Justin Baas menjadi tular dalam media sosial bukan kerana dia berjaya membantu pasukannya menumpaskan Malaysia 1-0 dalam aksi peringkat kumpulan tapi tindakannya selepas tamat perlawanan menjadi kecaman.

Baas mungkin tidak boleh mengawal perasaan selepas Filipina berjaya mencatat kemenangan tipis dengan menepuk bahu pemain Malaysia dengan agak kasar.

Tindakannya menyebabkan kebanyakan anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak berpuas hati dengan Baas sebelum masuk ke bilik persalinan.

"Saya sebenarnya seorang bekas pemain bola sepak dan ini menunjukkan pemain berkenaan (Baas) tidak mempunyai adab. Adakah seperti itu anda menunjukkan reaksi? Ia sangat kurang ajar," kata Rish Jennies di akaun Twitter miliknya.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Amri Yahyah mengakui situasi berkenaan mungkin tidak sama dengan mereka berada di atas padang dan yang menonton.

"Bagi saya ia berkaitan dengan persepsi, sebab kita tidak berada dalam keadaan berkenaan. "Mungkin pemain itu berasa terlalu teruja dan kita sebagai penyokong pula merasakan ia tidak sepatutnya berlaku. Kalau saya sendiri berada di atas padang, saya tidak mahu panaskan lagi keadaan," kata Amri.

Video berdurasi satu minit itu jelas menunjukkan ketua pasukan, Adam Nor Azlin, Dominic Tan, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Danial Amier Norhisham tidak berpuas hati dengan tindakan Baas.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 04 Dec 2019