Penguasaan Welson berakhir

WELSON tewas di tangan perenang Vietnam. FOTO Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

"SAYA minta maaf. Saya sendiri berasa kecewa." Demikian luahan perenang negara, Welson Sim yang gagal meraih hatrik pingat emas acara 400 meter gaya bebas apabila hanya berpuas hati dengan perak selepas mendominasi edisi 2015 di Singapura dan dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

Perenang negara berusia 22 tahun itu yang menjadi sandaran utama dilihat bersungguh-sungguh untuk memenuhi sasaran itu tetapi dia tidak dapat menghalang kemenangan sensasi baru dari Vietnam, Nguyen Huy Hoang.

Welson mencatat masa 3:49.55 saat (s) menghampiri rekod kebangsaan miliknya 3:49.29s. Manakala Huy Hoang melakar 3:49.08s untuk mencatat rekod baru kejohanan memadamkan rekod lama 3:50.56s milik Welson.

"Ia sememangnya bukan keputusan saya mahukan. Tetapi catatan masa itu mengampiri catatan peribadi terbaik saya. Sudah tentu saya akan cuba bangkit semula pada acara kegemaran saya iaitu 200m gaya bebas yang mana dua tahun lalu saya memenangi emas," katanya.

Gangsa milik perenang Indonesia, Prawira Aflah Fadlan. Welson juga meraih gangsa acara 4×200m gaya bebas berganti-ganti menerusi gandingannya bersama Hoe Yean Khiew, Arvin Singh dan Keith Lim

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 04 Dec 2019