Farah rangkul emas ketiga

FARAH bersama ibu bapanya , Kimberly Ann dan Abdul Hadi selepas berjaya merangkul emas ketiganya. FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

FARAH Ann Abdul Hadi meninggalkan Kompleks Sukan Rizal Memorial, Manila dengan penguasaan penuh apabila dia sekali lagi menampilkan aksi memukau untuk meraih pingat emas dalam acara senaman lantai, hari ini.

Ratu gimnastik negara yang sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 mengutip 12.600 mata untuk mengatasi pencabar terdekat dari Indonesia, Rifda Irfanaluthfi yang mencatat 12.333 mata untuk meraih perak.

Manakala pingat gangsa pula milik atlet Vietnam, Tran Doan Quynh Nam dengan catatan 12.033 mata.

Dia yang turut mengungguli acara individu keseluruhan dan palang bertingkat sebelum ini mengakui ia pencapaian terbaiknya sepanjang penyertaan di Sukan Sea.

“Ia sesuatu yang mengujakan dengan pencapaian ini. Selepas kemenangan semalam (emas palang bertingkat) saya hanya mahu melakukan yang terbaik. Saya ada buat kesilapan hari ini tetapi saya menang akhirnya. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong terutama keluarga, jurulatih dan rakan sepasukan, tanpa mereka saya tiada di sini,” katanya yang merekodkan emas ketujuh sepanjang temasya itu.

Adik kepada bekas atlet renang berirama negara, Katrina Ann sebelum ini memenangi dua emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur dalam acara berpasukan selain mengungguli saingan senaman lantai.

Dia turut memenangi emas berpasukan dan senaman lantai pada edisi 2015 di Singapura.

Sementara itu, seorang lagi gimnas negara, Tracie Ang turut cemerlang apabila menutup tirai saingan hari terakhir dengan memenangi emas acara batang titian dengan catatan 12.867 mata.

Atlet berusia 26 tahun itu mengatasi Rifda yang meraih perak dengan catatan 12.133 mata manakala gimnas Vietnam, Do Thi Van Aanh gangsa (10.367 mata).

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 04 Dec 2019