Syed Saddiq arah hantar nota protes

FAIZUL diusung keluar selepas mengalami kecederaan ketika menentang pesilat tuan rumah. FOTO Aizuddin Saad
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui tindakan seharusnya diambil ke atas pesilat tuan rumah, Dines Dumaan berikutan insiden ke atas pesilat negara, Faizul M Nasir semalam.

Syed Saddiq menerusi akaun Twitter miliknya jelas kecewa dengan apa yang berlaku dan menggesa agar skuad negara menghantar nota protes.

"Malaysia tidak boleh berdiam diri. Saya sudah arahkan pihak Malaysia untuk ambil tindakan dan hantar nota protes," katanya.

Beliau juga menyokong bahawa Faizul sudah memberikan yang terbaik untuk negara tetapi mengalami kecederaan ketika menentang Dines pada pusingan kedua Kelas Putra B (50-55kg) di Subic.

"Malaysia tetap berbangga dengan anda (Faizul)," tambah Syed Saddiq lagi di laman sosial berkenaan.

Malang menimpa Faizul apabila hasratnya untuk mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut menemui kegagalan.

Sebaliknya, dia terpaksa dikejarkan ke hospital selepas dilihat tidak sedarkan diri sebaik terjatuh sebelum ditendang oleh lawannya.

Faizul dilihat terbaring lebih tiga minit tanpa mendapat bantuan perubatan ketika wasit sedang mengira mata sebelum mengumumkan kemenangan 5-0 untuk Dines. Kemudian barulah Faizul dikejarkan ke hospital dari Pusat Pameran dan Konvensyen Subic Bay.

Situasi itu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Malaysia dan video aksi pesilat negara diperlakukan sebegitu turut dikongsi Syed Saddiq.

Perkongsian maklumat dan video oleh beliau tular di media sosial yang meraih 914,500 tontonan, 18,400 ulang kicau dan rata-rata netizen menyokong tindakan yang bakal diambil olehnya bagi menuntut keadilan dan menghantar nota protes kepada pihak terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 04 Dec 2019