Kali pertama beraksi dapat emas

KHAIRUNNISA bersama keluarga di klia2 sejurus tiba dari Manila.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

"MACAM tak percaya terpilih mewakili negara ke Sukan Sea. Namun saya gembira dapat sertai pasukan bola jaring kebangsaan dan menang pula pingat emas," kata pemain bola jaring negara, Khairunnisa Nazri yang beraksi kali pertama di Sukan Sea Filipina.

Atlet berasal dari Sungkai, Perak itu berkata, bola jaring bukanlah 'cinta pertama' kerana ketika di SK Trolak Utara, dia aktif dalam semua sukan termasuk olahraga, bola baling, skuasy dan bola jaring.

"Selepas sekolah muncul johan bola jaring, saya masuk ke peringkat seterusnya sehingga Majlis Sukan Sekolah Malaysia sebelum ditawar ke SMK Gunung Rapat, Ipoh.

"Di sekolah sukan ini saya aktif bola jaring di bawah bimbingan guru, Allahyarhamah Hashimah Shaari," katanya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia 2). Khairunnisa, 20, yang juga penuntut Sarjana Sains Sukan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) antara pemain muda diserap daripada skuad remaja yang membantu Malaysia mempertahankan emas dengan menewaskan Singapura 48-42 dalam aksi final di Kompleks Sukan Santa Rosa, Isnin lalu.

"Pingat emas ini sangat bermakna kerana dapat menyuntik semangat saya untuk bertanding di kejohanan seterusnya pada masa depan," katanya.

Terdahulu, Khairunnisa menerima kejutan daripada kira-kira 10 ahli keluarga yang datang menyambut kepulangannya.

Bapanya, Nazri Abdul Rahman, 55, berkata beliau sekeluarga menaiki tiga kenderaan dari kampung halaman seawal jam 7 pagi demi meraikan kejayaan anak kedua daripada empat beradik itu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Rabu, 04 Dec 2019