Ambil mudah dalam kumpulan mudah

KECEWA. Reaksi pemain Malaysia selepas tewas 3-1 kepada Kemboja. FOTO Bernama
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

SUDAH sembilan kali skuad bola sepak negara tersingkir di peringkat kumpulan dalam sejarah Sukan Sea termasuk terbaharu semalam.

Lapan edisi sebelum ini ialah pada 1967, 1991, 1993, 1995, 1997, 1999, 2007 dan 2015.

Dari 1967 hingga 1999, Malaysia diwakili skuad senior dengan purata pencapaian menduduki tangga kelima dan ketujuh daripada pasukan bertanding.

Mulai 2001, hanya skuad bawah 22 tahun dibenarkan beraksi di Sukan Sea dan Malaysia turut gagal melepasi peringkat kumpulan iaitu pada 2007 dan 2015.

Bagaimanapun, kegagalan kali ini sangat memalukan kerana skuad negara diundi dalam kumpulan lebih mudah bersama tuan rumah Filipina, Myanmar, Kemboja dan Timor Leste.

Namun, serba tidak menjadi bagi anak buah Datuk Ong Kim Swee apabila seri 1-1 dalam perlawanan pertama berdepan Myanmar, diikuti tunduk kepada tuan rumah 0-1.

Kebangkitan diharap selepas menang 4-0 ke atas pasukan di tangga tercorot, Timor Leste, namun apa yang ditakuti akhirnya menjadi kenyataan apabila Malaysia tersungkur 1-3 kepada Kemboja dalam perlawanan terakhir semalam, sekali gus gagal layak ke separuh akhir.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 05 Dec 2019