Peluang akhir bukti kemampuan

JOO Ven ketika beraksi menentang atlet Indonesia, Sinisuka Ginting di Komplek Sukan Muntinlupa. FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

ACARA individu badminton Sukan Sea 2019 bakal menjadi talian hayat terakhir buat perseorangan lelaki, Soong Joo Ven membuktikan kemampuannya ketika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka melakukan proses rombakan selepas temasya ini.

Selain itu nasib beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin ibarat telur di hujung tanduk terutama selepas mempamerkan aksi longlai dalam final acara berpasukan di Kompleks Sukan Muntinlupa, semalam.

Dalam perlawanan akhir itu, kem negara gagal menamatkan kemarau 14 tahun apabila tumbang 1-3 kepada pasukan Indonesia untuk berpuas hati membawa pulang pingat perak.

Menurut Joo Ven, dia harus bangkit dalam acara perseorangan yang dijadual berlangsung hari ini.

“Walaupun kalah hari ini (semalam), sedikit sebanyak prestasi saya hari ini dapat meningkatkan lagi tahap keyakinan saya. Saya terkejut juga dengan prestasi saya dalam perlawanan ini dan diharapkan saya boleh kekalkan momentum,” kata nya.

Terdahulu, langkah skuad negara bermula sumbang selepas Lee Zii Jia tewas di tangan Jonathan Christie 9-21, 17-21, namun beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila menyamakan kedudukan selepas mengatasi Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto 21-17, 21-13.

Joo Ven yang turun sebagai perseorangan kedua hampir melakar kejutan menyumbang mata kedua apabila memberi tentangan sengit kepada Anthony Ginting sebelum tewas 21-13, 15-21, 18-21.

Beregu kedua negara, Ee Yi-Yew Sin yang diharapkan mampu menyamakan kedudukan gagal melaksanakan misi itu apabila tewas di tangan Wahyu Nayaka-Ade Yusuf Santoso 16-21, 19-21.

Ini adalah kali kedua berturut-turut Malaysia tewas di tangan Indonesia dalam aksi final berpasukan selepas mengalami nasib sama dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 05 Dec 2019