Bukan rezeki...

ADAM Nor Azlin (kanan) bersaing dengan pemain Kemboja, Reung Bunheng. FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

KAPTEN skuad bawah 22 (B-22) tahun negara, Adam Nor Azlin mengakui dia gagal menjalankan tanggungjawabnya selaku ketua pasukan.

Dia jelas kecewa kerana tidak dapat membantu pasukan melepasi peringkat kumpulan Sukan Sea 2019 kali ini selepas Malaysia tumbang buat kali kedua dalam empat perlawanan.

Kekalahan 1-3 kepada Kemboja di Stadium Memorial Rizal, di sini semalam meletakkan pasukan di tangga keempat Kumpulan A dengan hanya meraih empat mata sekali gus gagal mara ke separuh akhir.

“Secara peribadi saya gagal sebagai ketua pasukan untuk membawa pasukan ini. Tapi bagi saya ia bukan kegagalan selama-lamanya... bagi saya memang kecewa, tapi kecewa itu kalau kita layan sampai bila-bila dan memikirkan apa orang kata sebagai manusia kita akan hilang semangat.

“Kami dah cuba terbaik tapi mungkin rezeki tidak menyebelahi. Apa yang dah berlaku saya harap ia jadi pengalaman berguna kepada kami supaya tidak diulangi pada kejohanan akan datang,” katanya selepas perlawanan semalam.

Sementara itu, pengendali Datuk Ong Kim Swee mempersoalkan kenapa sekarang baru hendak mempertikaikan formasi beliau.

“Bila kami layak ke suku akhir dan menewaskan Korea Selatan (Sukan Asia 2018), tak ada pun orang bertanya mengenai formasi saya.

“Tapi kenapa mempertikaikan formasi sekarang sedangkan ramai pemain yang sama. Jadi saya rasa itu hanya satu isu yang sengaja nak ditimbulkan.

“Jika anda lihat formasi, ia ada macam-macam formasi. Kami boleh bermain (formasi lain) tapi kalau kami bermain tidak mengikut kehendak, dah tentu ia tetap tidak menyebelahi,” katanya pada sidang media di Stadium Memorial Rizal, di sini, semalam.

Kegagalan Kim Swee membawa pasukan melepasi peringkat kumpulan adalah yang kedua selepas turut terkandas pada temasya 2015 di Singapura.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 05 Dec 2019