Farah Ann mahu rakan dibawa bersama

Farah Ann berharap rakan sepasukan dibawa bersama. FOTO NSTP/OSMAN ADNAN
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

PERSEKUTUAN Gimnastik Malaysia (MGF) diharap dapat mempertimbangkan untuk turut membawa rakan sepasukan Farah Ann Abdul Hadi yang dijangka menjalani latihan insentif di Amerika Syarikat (AS) sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Farah, 25, yang menghadiahkan tiga pingat emas pada Sukan Sea 2019 berkata, kejayaan besar di temasya dwitahunan itu bukanlah hadir atas dirinya sahaja tetapi ia turut dibantu oleh rakan sepasukan yang lain.

"Fokus tahun ini adalah Sukan Sea, saya akan berehat seketika sebelum kembali membuat persiapan bagi Olimpik.

"Saya akan berbincang dengan jurulatih mengenai apa yang terbaik (sebagai persiapan ke Olimpik). Saya sedar MGF mempunyai perancangan untuk menghantar saya menjalani latihan di AS.

"MGF cuba melakukan yang terbaik untuk membantu saya terutama selepas saya layak ke Olimpik.

Saya harap rakan sepasukan saya juga dapat menyertai sekiranya saya dihantar menjalani latihan di luar negara kerana kami adalah satu pasukan.

"Saya selesa menjalani latihan dengan rakan sepasukan dan jurulatih saya. Mereka banyak membantu saya dan kami bagai satu keluarga besar.

"Apa pun saya akan membuat keputusan apa yang terbaik untuk diri saya dan pasukan," katanya yang mengungguli acara individu keseluruhan, palang bertingkat dan senaman lantai.

Sebelum ini, Farah menjadi atlet wanita pertama melayakkan diri ke Olimpik sejak Au Li Yen melakukannya pada Olimpik Sydney 2000 apabila melepasi kelayakan di Kejohanan Dunia di Stuttgart, Oktober lalu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 05 Dec 2019