Sofbol negara cipta sejarah

PASUKAN sofbol wanita negara sebelum menentang Singapura hari ini.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

SEJARAH dilakar skuad sofbol negara apabila kali pertama berjaya meraih pingat sekurang-kurangnya gangsa selepas 40 tahun beraksi di temasya Sukan Sea.

Ia hasil kejayaan menundukkan Singapura 5-4 dalam aksi terakhir liga sepusingan hari ini yang juga kemenangan ketiga daripada empat perlawanan.

Dengan keputusan itu, bermakna mereka kini perlu membuat perhitungan dengan juara kumpulan Filipina esok bagi perebutan tiket automatik ke final.

Jika tewas, menerusi format 'Sistem Pace' menyaksikan mereka masih berpeluang ke final dengan syarat perlu mengatasi pemenang perlawanan antara Singapura dan Indonesia. Pengurus pasukan sofbol, Syaiful Nazli Selamat yang mengesahkan perkara itu berkata, dia mahu barisan pemainnya cuba meraih keputusan terbaik.

"Memang kami gembira sangat kerana pingat gangsa sudah berada dalam genggaman tetapi sebolehnya kami ingin menamatkan temasya dengan meraih tempat terbaik.

"Malah, ia kali pertama dalam sejarah kami berjaya menewaskan jiran tetangga Indonesia selepas 40 tahun," katanya merujuk kepada kemenangan ke atas Indonesia 5-3 pada aksi liga sepusingan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 05 Dec 2019