Harapan kini di bahu Kisona

KISONA mara ke suku akhir perseorangan wanita.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

SKUAD badminton wanita negara kini bergantung harap sepenuhnya kepada S Kisona selepas rakan sepasukan dalam acara perseorangan, Soniia Cheah menarik diri ekoran kecederaan.

Soniia yang diletakkan harapan tinggi di Sukan Sea 2019 di sini gagal meneruskan aksi selepas pemenang pingat perak edisi lalu itu mengalami kecederaan hamstring dalam set ketiga ketika menentang pemain Myanmar, Thet Htar Tzuzar.

Pada set pertama, Soniia menang 21-18 namun dia kemudiannya tewas 15-21 sebelum membuat keputusan menarik diri ketika ketinggalan 5-12 di set ketiga.

Bagaimanapun, situasi itu tidak mencemaskan jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock yang percaya Kisona mampu melakukan sesuatu dengan menghadiahkan pingat buat kem negara.

"Saya agak sedih juga dengan situasi menimpa Soniia kerana sandaran ke atas dirinya. Namun, saya harapkan Kisona mampu melakukan kejutan kerana tiada apa mustahil," kata Seu Bock.

Dalam aksi pusingan awal di Kompleks Sukan Muntinlupa hari ini, Kisona mengalami detik cemas sebelum mengesahkan tempat ke suku akhir apabila dipaksa bekerja keras menewaskan pemain Filipina, Airah Mae Nicole Albo 18-21, 21-10, 21-15.

Dia dijangka berdepan satu lagi aksi sukar bagi merebut tempat ke separuh akhir apabila bertemu pilihan ketiga dari Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung yang akan berlangsung esok.

Sementara itu, dua lagi wakil negara yang turut beraksi termasuk perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengesahkan tempat ke suku akhir.

Zii Jia tidak berdepan masalah menewaskan pemain Singapura, Koh Jia Wei 21-17, 21-10 manakala Kian Meng-Pei Jing menundukkan pasangan Singapura, Terry Hee-Crystal Wong 21-12, 24-22.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 05 Dec 2019