Faizul cekal beri sokongan

FAIZUL memakai alat penyokong leher ketika hadir beri sokongan kepada rakan sepasukan hari ini. FOTO Team Malaysia
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

PESILAT negara, Muhammad Faizul M Nasir hadir memberi sokongan kepada rakan sepasukan hari ini meskipun baru dibenarkan keluar dari Pusat Perubatan Clark City, Filipina. Semangat dipamerkan pemenang pingat emas edisi 2015 dan 2017 itu mendapat pujian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkannya sebagai hero negara.

Menerusi Twitternya, Syed Saddiq menulis perkataan 'hero' bersama logo Jalur Gemilang serta mengulang ciap catatan Team Malaysia mengenai atlet pencak silat itu.

Team Malaysia mencatat Faizul terus hadir memberi sokongan kepada rakan sepasukan yang bertanding dalam acara silat sebaik dibenarkan keluar awal dari pusat perubatan itu.

Catatan itu berserta gambar pesilat terbabit memakai alat penyokong leher mendapat pelbagai reaksi warganet.

Pengguna Twitter dikenali@11_izz misalnya bertanya kepada Syed Saddiq maklum balas terkini daripada penganjur berhubung kejadian itu. "YB (Yang Berhormat), nak tanya...memang tiada apa-apa maklum balas daripada pihak penganjur berhubung isu ini?," katanya.

Bagi pengguna dengan nama Ridhwanfirdaus pula meminta Kementerian Belia dan Sukan mendapatkan kenyataan rasmi berhubung tindakan lewat petugas perubatan di tepi gelanggang ketika kejadian. "Mereka didakwa membenarkan dia (Muhammad Faizul) terus beraksi walaupun jelas dia pengsan beberapa minit kemudian. Tindakan lewat petugas perubatan lewat memberi bantuan tidak dapat diterima," katanya.

Beliau berkata, tindakan perlu diambil berhubung perbuatan atlet Filipina yang tiada semangat kesukanan selain penganjur yang mengumumkan pemenang ketika atlet Malaysia terlantar cedera di kepala. "Ia babak memalukan," katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq dalam satu kenyataan menegaskan Malaysia tidak boleh berdiam diri susulan kejadian menimpa Faizul pada pusingan awal Kelas Putra B, Selasa lalu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Khamis, 05 Dec 2019