'Dah agak pun...'

KIM Swee. FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

“JIKA saya mampu memenangi Piala Dunia sekalipun, tapi semalam (kelmarin) saya kalah dengan Kemboja perkara yang sama akan berlaku. Jadi saya tidak kesal sama sekali.”

Demikian respons pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee mengulas keputusan drastik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menyambung kontraknya yang berakhir hujung bulan ini.

Kim Swee, 49, yang sudah berkhidmat hampir 10 tahun bersama badan induk itu gagal mencapai misi layak ke final Sukan Sea 2019 selepas pasukannya terkandas pada peringkat kumpulan.

Dua kekalahan memalukan kepada Filipina (0-1) dan Kemboja (1-3) menyaksikan impian Malaysia untuk mengulangi pencapaian gemilang 2011 memenangi pingat emas yang ketika itu turut dibimbingnya berkecai di bumi Filipina.

Katanya, beliau tidak terkejut dengan keputusan FAM itu kerana sejak awal sudah dimaklumkan sekiranya anak buahnya gagal mencapai sasaran ke final.

“Saya sudah dimaklumkan oleh Setiausaha Agung (FAM) yang mana kontrak B-22 saya tak disambung, jadi saya terima dengan hati terbuka lagipun saya sudah begitu lama dengan FAM terutamanya dengan pasukan remaja.

“Tiada kekesalan seperti saya katakan, setiap jurulatih yang terbabit dalam bola sepak adalah untuk meraih keputusan... dan usaha kami hanya akan ditentukan dengan keputusan.

“Jadi saya tidak kesal sama sekali dan saya harus berterima kasih kepada FAM kerana saya bermula dengan peringkat umur yang begitu muda daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil hingga saya menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan dan kini kembali semula B-23.

“Pengalaman yang saya lalui amat banyak dan pendedahan yang saya dapat daripada FAM mungkin tidak didapati jurulatih lain,” katanya ketika ditemui di lapangan terbang di sini sebelum bertolak pulang ke tanah air semalam.

Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, bekas pemain kebangsaan yang pernah menganggotai skuad Projek Barcelona 1992 itu mengakui mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada kursus lesen profesional dan keluarga.

“Buat masa ini saya tidak mahu memikirkan apa-apa lagi mengenai masa depan saya, yang penting sekarang saya harus tumpukan kursus Pro License saya akan datang.

“Pada masa sama mengambil masa bersama keluarga sebelum memikirkan langkah seterusnya,” katanya.

Selain kejayaan meraih emas Sukan Sea 2011, beliau turut melakar sejarah mengemudi pasukan mara ke suku akhir Kejohanan B-23 AFC di China tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019

    © New Straits Times Press (M) Bhd

    Jumaat, 06 Dec 2019